KUALA LUMPUR: Kejayaan pelakon kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh pada acara Oscar 2023 turut mendapat ucapan penghargaan daripada Kerabat Diraja Britain.

Dalam perkongsian di Twitter The Royal Family, keluarga diraja itu menyifatkan kemenangan yang diraih Michelle turut memberi makna kepada kesatuan Komanwel.

Ia apabila anak kelahiran Ipoh, Perak itu memenanginya pada Hari Komanwel - yang disambut setiap hari Isnin kedua bulan Mac.

"Tahniah kepada Michelle Yeoh dan ahli keluarga di tanah air Malaysia yang menyaksikan kemenangan bersejarah beliau pada Hari Komanwel," memetik hantaran di Twitter tersebut.

Semalam (Isnin) Michelle melakar sejarah paling gemilang dalam kerjaya seninya apabila ditabalkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023).

Pada acara gemilang yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat itu, beliau merangkul anugerah berkenaan menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Kejayaan yang dilakar Michelle itu sekali gus mencatatkan namanya sebagai pelakon pertama dari Asia ditabalkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam sejarah penganjuran Anugerah Akademi sepanjang 95 tahun penganjuran.